Wednesday, January 26, 2011

Akibat HUTANG

Ramai orang sangat menjaga amal dan ibadah, halal dan haram... tapi bila tiba bab wang ringgit (hutang) manusia jadi tak kisah... sepatutnya bila dihimpit hutang walaupun sekecil wang RM1, hati rasa tak tenang sebab ada hak yg masih belum kita tunaikan... bila baca khutbah Jumaat kat bawah ni memang gerun sangat2... segala2nya bermula akibat hutang... Naudzubillah... Ya Allah jauhkan aku dan keluarga ku dari cengkaman hutang...

(Tiada kaitan dengan yang hidup ataupun yang mati... Buat peringatan bagi yang mengaku diri orang yang beriman)

 ++++++++
Sidang jumaat yang di rahmati Allah,
Marilah kita sama-sama mempertingkatkan ketakwaan dan keimanan kita kepada Allah S.W.T dengan menjunjung segala perintahnya dan menjauhi segala larangannya.
Kehidupan di zaman moden ini, banyak membawa cabaran kepada umat Islam bagi memenuhi keperluan hidup. Terdapat di kalangan mereka yang menghabiskan umurnya, mencari rezeki siang dan malam semata-mata untuk memenuhi tuntutan nafsunya. Di samping itu terdapat juga di kalangan mereka yang sanggup berhutang di sana sini, ibarat kata pepatah: “Berhutang sekeliling pinggang” untuk mencapai kesejahteraan hidup di dunia.
Dalam Islam berhutang memang di haruskan. Islam memberi galakan kepada umatnya, agar memberi bantuan kepada saudara-saudaranya, lebih-lebih lagi dalam hal keperluan asasi. Umpamanya perkara-perkara yang berkaitan dengan makan dan minum, tempat tinggal, pelajaran dan sebagainya.

Sebagaimana dalam sebuah hadis :-
Maksudnya : [Daripada Abu Hurairah ( r.a ) berkata seseorang , Ya Rasulullah, pekerjaan apakah yang paling baik? beliau bersabda : "memasukkan kepada saudara kamu kegembiraan atau melunaskan hutangnya atau memberi roti (makanan) kepadanya].
Hadis ini menerangkan antara pekerjaan yang paling baik ialah menolong menjelaskan hutang seseorang. Persoalan sekarang ialah sebahagian orang Islam sengaja melambat-lambatkan membayar hutang apabila tiba waktu hendak membayarnya. Berbagai-bagai alasan akan di berikan untuk mengelak atau menangguhkan pembayaran hutang tersebut.
Sesungguhnya melambat-lambatkan bayaran hutang, amatlah besar sekali akibatnya dalam kehidupan manusia, bukan sahaja di dunia, bahkan juga di akhirat. Antaranya:
1. Mereka akan ditimpa kehinaan dan hilang maruahnya.
2. Hidup mereka tidak mendapat keredhaan Allah.
3. Mereka di golongkan dalam perbuatan zalim
4. Amalan kebajikan mereka tidak diberkati.
Apabila seseorang itu berhutang, bermakna dia mula meletakkan belenggu di batang lehernya, dan belenggu itu tidak dapat dilaksanakan, kecuali hutang tersebut dijelaskan. Kalau tidak sempat dijelaskan, hutang itu akan terus di bawa sampai ke hari pengadilan di akhirat. Yang mana ketika itu tiada lagi pembayaran dengan ringgit atau dolar, tetapi pembayaran dengan amalan-amalan kebajikannya.
Bagaimana kalau tidak ada amalan kebajikan?, kita akan dihumban ke dalam api neraka. Demikianlah akibat tidak menjelaskan hutang. Oleh yang demikian, Islam menganjurkan antara perkara yang wajib di segerakan di atas dunia ini, selain dari jenazah hendaklah segera dikebumikan, dan anak perempuan yang dipinang orang hendaklah segera dikahwinkan, maka hutang-piutang hendaklah segera dibayar atau dilangsaikan, untuk mengelakkan terabai membayarnya.
Sidang jumaat yang di rahmati Allah,

Cuba kita insafi bersama-sama, kalau kita membuka gerai runcit dan memberi hutang kepada pelanggan-pelanggan kita, tiba-tiba pelanggan kita tidak membayar hutang pada waktunya, sudah tentu kita menghadapi kerumitan untuk meneruskan perniagaan. Kemungkinan terpaksa menutup perniagaan kita.
Begitu juga seseorang yang melanjutkan pelajaran melalui pinjaman, dan telah mengikut perjanjian membayar balik bila tiba masanya, tetapi kita mengabaikan perjanjian tersebut, sudah tentu pihak yang memberi pinjaman sukar meneruskan perkhidmatan seperti itu, kepada generasi yang berikutnya. Bukankah perbuatan itu menyekat pembangunan masyarakat dan kemajuan negara?. Mereka termasuk dalam golongan mereka yang mungkir janji, iaitu satu daripada sifat orang munafik. Sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud :
” Tanda orang-orang munafik itu ada tiga” :-
1. Apabila bercakap dia dusta
2. Apabila berjanji dia mungkir janji
3. Apabila diamanahkan dia khianat.
Tegasnya, orang yang dusta, mungkir janji dan pecah amanah adalah tergolong dalam kumpulan orang yang dikutuk oleh Allah dan boleh menjejaskan kemajuan sesuatu masyarakat dan negara .
Sidang jumaat yang di rahmati Allah ,

Islam sangat mengambil berat dalam soal pembayaran hutang, dalam ertikata lain , hutang adalah merupakan satu syarat untuk mendapat keredhaan Allah. Seseorang yang berhutang, hendaklah berniat dalam hatinya untuk menunaikan hutang tersebut, kerana Allah akan memudahkan baginya bila dia hendak menunaikannya.

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud :
[Semua dosa-dosa orang yang mati syahid diampuni kecuali hutangnya].

Sabdanya lagi :
[Dan barangsiapa yang berhutang, kemudian ia berniat tidak akan membayar hutangnya, lalu ia mati, maka Allah akan bertanya di hari kiamat: " Apakah kamu mengira bahawa aku tidak akan menuntut hak hambaku?, maka di ambillah amal kebaikan orang itu, dan di berikan pada orang yang memberi hutang, dan jika tidak mempunyai amal kebaikan, maka dosa-dosa orang yang memberi hutang itu, di berikan pada orang-orang yang berhutang].
Muslimin yang di rahmati Allah,
Rasulullah S.A.W. mengingatkan kita bahawa orang yang berhutang terikat dengan pembayaran. Dia mesti menjelaskan hutangnya semasa di dunia, kerana apabila dia dah mati dan dia masih lagi menanggung hutang, maka rohnya akan tergantung sehinggalah dijelaskan hutang tersebut. Sepertimana sabda Rasulullah S.A.W :
[Jiwa orang-orang mukmin tergantung dengan hutangnya (iaitu tidak di hukum kepadanya selamat atau celaka) sehinggalah dia menjelaskan hutangnya].

Abu Said R.a berkata :

“Telah di bawa kepada Rasulullah S.A.W jenazah untuk disembahyangkan, lalu Nabi bertanya: Apakah mayat ini masih menanggung hutang?, Sahabat menjawab: Ya, Nabi bertanya: “Apakah ia ada meninggalkan harta untuk membayarnya?, jawab Sahabat: Tidak. Nabi bersabda : “Sembahyanglah kamu kepada kawanmu itu, Nabi sendiri tidak ikut menyembahyangkannya. Kemudian Ali Bin Talib berkata: “Biarlah saya yang membayar hutangnya”. Sesudah itu, Nabi segera maju menyembahyangkannya, lalu ia berkata kepada Ali, Semoga Allah membebaskan tanggunganmu (dirimu) dari api neraka, sebagaimana kamu membebaskan tanggungan saudara yang muslim itu. Tidaklah seorang Muslim yang membayar hutang saudaranya, melainkan Allah akan membebaskan tanggungannya (dirinya) dari api neraka pada hari kiamat kelak.
Bayangkanlah jika seseorang itu berhutang dengan badan-badan yang berkaitan dengan orang ramai, umpamanya pihak kerajaan, koperasi, bank dan tabung kebajikan dan sebagainya, maka sudah pasti urusan hutang tersebut sangat rumit untuk di selesaikan, apabila tiba di hari akhirat nanti, kerana dia melibatkan banyak pihak. Apalah ertinya kita menyuapkan kemewahan kepada anak isteri kita, sedangkan pada masa yang sama kita menipu orang lain dengan memungkiri perjanjian kita.
Allah S.W.T. berfirman :

[Wahai orang-orang yang beriman, penuhilah serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian].

(Surah Al-Maidah ayat :1)

Mematuhi perjanjian, sangat penting dan wajib di dalam Islam, tetapi banyak berlaku mungkir janji dan pecah amanah, di mana apa yang tersebut di dalam perjanjian tidak dilaksanakan.
Oleh itu seseorang yang berhutang janganlah menangguhkan bayaran, apabila mempunyai peluang untuk membayarnya. Perbuatan tersebut, adalah tergolong dalam perbuatan orang yang zalim dan dia berhak mendapat hukuman Allah di atas perbuatannya.
Sabda Rasulullah S.A.W. :

Maksudnya : [Penangguhan (hutang) oleh orang yang berkuasa membayar, adalah satu kezaliman, halallah maruahnya dan jika hukuman ke atasnya (iaitu pemberi hutang) boleh mengambil tindakan ke atasnya dan maruahnya].
Sidang jumaat yang di rahmati Allah sekalian,

Lihatlah, betapa besarnya bahaya yang di bawa oleh hutang, melenyapkan kebaikan dan mengheret kita ke neraka. Oleh itu sebagai orang Islam kita mestilah sedaya-upaya menjauhi perbuatan tersebut dengan menyegerakan membayar hutang yang telah kita lakukan atau yang telah kita janjikan pembayarannya. Janganlah kita fikir bahawa kita bijak kerana berjaya menyembunyikan hutang kita, tetapi ingatlah sesungguhnya Allah maha mengetahui segala apa yang tersembunyi.
Kita mesti mempunyai sifat bersyukur kepada Allah S.W.T dengan apa yang ada pada kita, dan melaksanakan sifat amanah dan tanggungjawab agar kita dilindungi dari bahaya di dunia dan di akhirat akibat hutang kita. Biarlah hendaknya kita kembali menemui Allah S.W.T dengan hati yang aman damai, selamat sejahtera, tiada sebarang sangkutan di dunia ini yang perlu di selesaikan.

[Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, merekalah ahli-ahli syurga mereka kekal di dalamnya]

No comments:

Post a Comment